#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

17 July 2011

UCAPAN YB. DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN MENTERI DALAM NEGERI SEMPENA PERASMIAN IBU PEJABAT AADK DAN PELANCARAN SKUAD 1M

Tarikh: 4 Julai 2011
Masa : 12.00 tgh - 2: ptg
Tempat : AADK Ibupejabat Sungai Merab, Bangi


BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM
Assalamualaikum W.B.T Dan Salam Sejahtera.


1. Alhamdulillah, marilah sama-sama kita ucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, maka pada hari yang cukup bermakna ini, kita semua dapat berkumpul bagi memperbaharui azam serta meningkatkan semangat untuk membanteras masalah dadah di Malaysia. Pada hari ini juga, saya merasa amat gembira kerana begitu ramai pihak daripada pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum, usia dan bangsa, hadir bersama-sama bagi memeriahkan majlis kita pada tengahari ini sebagai tanda sokongan padu dalam usaha membasmi dadah, musuh nombor satu negara.


Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,


2. 26 Jun telah diisytiharkan sebagai Hari Antidadah Antarabangsa oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1987. Selepas 24 tahun, masalah ini masih belum selesai dan masih merupakan suatu ancaman yang membimbangkan masyarakat dunia. United Nation Office on Drug and Crime (UNODC) di dalam laporannya menganggarkan terdapat sekitar 210 juta orang menggunakan dadah terlarang setiap tahun dan dari jumlah itu, 200,000 orang berada di ambang kematian setiap tahun. Hari ini, penyalah gunaan dan penyeludupan dadah bukan hanya ancaman terhadap kesihatan, tetapi telah menjadi ancaman yang besar terhadap kestabilan global dan pembangunan sosio-ekonomi yang merentasi dunia.


3. Di Malaysia, ancaman ini juga amat nyata. Perang terhadap dadah telah dimulakan di negara ini sejak sebelum merdeka lagi. Dunia mengenali Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak bertoleransi dengan penagihan dan pengedaran dadah. Kerajaan Malaysia telah menunjukkan kesungguhan politik yang tinggi untuk mengadakan peruntukan undang-undang yag ketat dan hukuman yang amat berat untuk memerangi dadah. Lima akta telah digubal sejak tahun 1952 lagi bagi tujuan mencegah pengedaran, penagihan dadah dan usaha-usaha pemulihan penagih dadah seperti Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 1998. Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dan Akta Racun 1952.


4. Ketegasan dalam menguatkuasakan undang-undang ini dapat dilihat melalui jumlah tangkapan yang dibuat oleh pihak polis. Sepanjang tahun lepas (2010), jumlah tangkapan berkaitan kesalahan dadah adalah seramai 146,942; 137,241 melibatkan penagih dan 9,701 melibatkan pengedar. Sejumlah 31 buah makmal telah ditumpaskan sepanjang tempoh 2009 hingga 2010 melibatkan rampasan dadah bernilai RM226.75 juta. Nilai keseluruhan rampasan dadah yang direkodkan sepanjang tahun 2009 dan 2010 adalah sebanyak RM 658 juta. Ketegasan ini akan diteruskan dan kerajaan tidak akan berkompromi sama sekali dalam perang terhadap penyeludupan dan pengedaran dadah. Komitmen kerajaan jelas, apabila aspek penyeludupan dadah adalah salah satu dari jenayah merentasi sempadan utama yang akan kita perangi menerusi Malaysian Academy on Transnational Organised Crime (MATOC) dan pelbagai kerjasama di peringkat antarabangsa.


5. Hari ini, di Malaysia pendekatan perang terhadap penyalah gunaan dan pengedaran dadah sudah sampai ke suatu persimpangan; persimpangan di antara ketegasan hukuman masa lampau dan transformasi holistik pembasmian permasalahan dadah. Tanpa sebarang keraguan, terbukti bahawa undang-undang yang ketat dan tegas amat membantu negara ini dalam mengatasi penagihan dan pengedaran dadah, namun undang-undang yang ketat dan hukuman yang berat semata-mata masih tidak cukup untuk menakutkan pengedar dadah dan belum dapat menginsafkan masyarakat tentang bahaya dadah. Kita amat memerlukan wawasan, hala tuju, strategi, pendekatan dan iltizam baru dalam memerangi ancaman dadah. Kita memerlukan pendekatan yang segar dalam empat aspek utama usaha memerangi dadah, iaitu;


i. Pencegahan
ii. Pemulihan
iii. Penguatkuat kuasaan undang-undang, dan
iv. Kerjasama di peringkat antarabangsa.


6. Asas kepada transformasi ini telah saya nyatakan di dalam Perutusan Tahun Baru KDN Tahun 2011 dan komitmen KDN dalam hal ini amat jelas. Peranan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam perang ke atas penyalah gunaan dan pengedaran dadah ini terkandung dalam LIMA dari TUJUH komitmen baru 2011 KDN, termasuklah menjadikan ia salah satu dari jenayah merentasi sempadan utama yang perlu diperangi dan melaksanakan pembasmian permasalahan dadah melalui gelombang kesukarelaan di dalam masyarakat.


7. Jelasnya komitmen-komitmen yang telah kita nyatakan ini amat selari dengan kempen dan tema UNODC sempena Hari Anti-Dadah Antarabangsa 2011 iaitu “Global Action for Healthy Communities without Drugs”. Seperti yang disebut oleh Pengarah Eksekutif UNODC, Yury Fedotov, iaitu “prevention starts with a community that cares about the vulnerable and it involves families, teachers, youth leaders and mentors, among other. We must start to think globally and act locally to curb drug abuse and drug trafficking. ” Ini yang telah kita laksanakan di Malaysia sejak tahun lepas lagi.


8. Hasil dari komitmen ini, maka tidak hairan bahawa negara kita telah menerima begitu banyak pengiktirafan dari luar, baik daripada badan dunia seperti UNODC, UNAIDS dan World Health Organisation (WHO) serta pihak ketiga yang lain seperti AlJazeera dan NGO-NGO dari luar Negara yang terlibat dengan pembasmian masalah dadah. WHO misalnya, memberikan penghargaan dan pujian terhadap pendekatan `Pulih dan Prihatin’ Malaysia dalam Laporan ‘Good Practices In Asia: Effective Paradigm Shifts Towards Improved National Response To Drug & HIV/AIDS” yang dikeluarkan pada wal tahun ini.


9. Pengiktirafan ini memang kena pada tempatnya kerana saya sendiri telah turun untuk meninjau perkhidmatan di Pusat Khidmat Pulih dan Prihatin (CCSC) di Chow Kit. Walaupun baru dibuka dalam bulan Februari, dilaporkan sehingga 30 Jun yang lepas sahaja, seramai 8,041 orang telah mendapatkan perkhidmatan di CCSC Chow Kit. Manakala melalui program outreach yang dilaksanakan oleh para sukarelawan, pusat ini telah berjaya menarik 794 orang penagih untuk mengikuti program rawatan dan pemulihan secara sukarela di pusat khidmat berkenaan. Pada waktu yang sama, atas semangat prihatin, sukarelawan di pusat ini juga turut berjaya membantu mendapatkan pekerjaan untuk 37 orang daripada mereka.


10. Ia merupakan suatu fenomena yang memberangsangkan dan saya amat gembira apabila melihat semangat sukarelawan yang begitu tinggi di sana. Saya percaya ia memerlukan lebih dari sekadar minat dan pengetahuan untuk menjadi seorang sukarelawan anti dadah. Ia memerlukan minat, semangat, keprihatinan dan kesabaran. Ia memerlukan suatu motivasi yang tidak bersifat material, tetapi kepuasan bahawa setiap yang menjadi mangsa penagihan adalah penting dan ‘we can make a difference’.


Tuan-tuan dan puan yang saya hormati sekalian,


11. Hari ini, di bawah AADK sahaja kita mempunyai lebih daripada 150,000 sukarelawan. 147,034 daripadanya di dalam Rakan Anti Dadah (RADA), 5,837 orang di dalam Masyarakat Wanita Antidadah (MAWADAH), 1,639 orang di dalam Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan Dadah (JKPD) dan bakinya di dalam Persatuan Alumni AADK (PENDAMAI), Persatuan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan Ahli Lembaga Pelawat.


12. Di luar AADK pula terdapat pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran dan kemudahan dalam rawatan dan pemulihan dadah dan NGO-NGO yang sudi menghulurkan tangan biarpun tidak mempunyai kepakaran dan kemudahan rawatan dan pemulihan. Ini tidak termasuk komuniti di kalangan penduduk sesuatu kawasan, pemimpin masyarakat setempat dan individu-individu yang turut membantu di atas sifat kemanusiaan dan keprihatinan. Kita perlu mendampingi setiap mereka ini dan kita perlu membawa mereka untuk bersama-sama menangani dan membasmi permasalahan dadah.


13. Hari ini, sempena majlis pada tengahari ini, marilah kita sama-sama duduk sebagai satu pasukan yang dinamakan sebagai Sukarelawan Anti-Dadah (SKUAD) 1Malaysia. Mudah-mudahan melalui gabungan seperti ini, kita akan dapat bersama-sama bergerak dalam satu barisan sebagai satu pasukan untuk bersama memerangi penyalah gunaan dan pengedaran dadah. Mudah-mudahan juga, kita semua dapat bekerja sebagai satu pasukan untuk memastikan mangsa penagihan dapat dirawat dan dipulihkan secara lebih berkesan seterusnya membantu mereka kembali diterima ke dalam masyarakat. Saya berharap mulai hari ini, melalui gelombang yang dimulakan ini, AADK akan dapat menggerakkan satu gelombang yang lebih besar menjelang akhir tahun nanti; dan gelombang inilah yang akan kita manfaatkan sepenuhnya untuk membawa kebaikan kepada negara dan bangsa; menjadikan negara bebas dari masalah penagihan dadah.


14. Sekalung tahniah sekali lagi kepada YBhg. Puan Sri Dato’ Zuraidah di atas transformasi yang sedang dilaksanakan. Pengiktirafan yang diterima dari pelbagai pihak ini menunjukkan ada sesuatu yang betul sedang dilaksanakan oleh AADK. Tahniah juga kepada semua warga AADK kerana telah mempunyai bangunan ibu pejabat baru di Sungai Merab ini. Dua blok bangunan setinggi lima tingkat (Blok A) dan tiga tingkat (Blok B) menjadi mercu tanda AADK dalam usaha membasmi masalah penagihan dadah dalam negara. Dengan berdiri megahnya bangunan ibu pejabat baru ini, AADK diharapkan akan terus berusaha melaksanakan inovasi dalam rawatan dan pemulihan disamping perlaksanaan program pencegahan dadah yang lebih mantap dan berkesan kepada seluruh rakyat Malaysia.


15. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Ibu Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan mengumumkan penubuhan gabungan Sukarelawan Antidadah 1Malaysia atau dengan nama singkatannya SKUAD 1MALAYSIA.


Sekian,
Wabillahi Taufi Walhidayah, Wassalamualaikum W.B.T.

Selamat Tahun Baru 2020

Selamat Tahun Baru 2020
#ambilkisahambiltindakan

We Are Drug Free. Join Us

We Are Drug Free. Join Us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya