#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

10 November 2014

Cerpen AADK : Menagih Redha Ilahi

NAIB JUARA KATEGORI KOLEJ/ UNIVERSITI
NAMA PENULIS MOHAMED AFIQ AMANI BIN MOHAMED NAHDIRSHA
ALAMAT NO 5, LORONG 2, JALAN BUNGA MAWAR,
09000 KULIM, KEDAH DARUL AMAN
TAJUK CERPEN : MENAGIH REDHA ILAHI


Kicauan sang burung silih berganti. Riang bersahut-sahutan
berpadu irama membuai hati yang lara. Pawana menderu menenangkan
gelora jiwa yang membadai tiada penghujungnya. Dinginnya menusuk
kalbu namun tidak mendinginkan ceruk kamar hati Saiful Najmi. Rindu
pada isterinya bertamu kembali. Baru semalam Laila pergi menghadap
Ilahi angkara barah payudara. Pemergiannya saat Saiful Najmi sudah
kembali ke pangkal jalan. Memori lalu benar-benar mengusik jiwanya.
“Abang… tak cukup barang kemas saya abang gadai, tabung
anak abang ambil. Abang tak kesian ke dekat Marisa. Dia simpan duit ni
dah lama. Bagi saya balik tabung ni.” Laila cuba merebut kembali tabung
yang diambil suaminya namun hampa.
“Ah…aku peduli apa! Aku perlukan duit. Kalau aku tak dapat
benda tu macam mana aku nak hidup! Kau jangan menyusahkan aku.
Berambus.” Saiful Najmi berkeras. Tubuhnya yang cengkung, berjalan
terhuyung-hayang dan berkhayal seolah-olah tidak berada di bumi yang
nyata semakin membimbangkan Laila. Angkara dadah durjana hidup
suaminya semakin hilang arah tuju.
“Abang…cukup-cukuplah menagih dadah. Abang tak kesian
ke pada saya dan anak kita. Kita berubat ye bang. Laila nak abang yang
dulu… yang ada tanggungjawab pada keluarga. Tolong berubah demi
anak-anak.” Laila merapati suaminya. Sendu sekali melihat keadaan Saiful
Najmi yang tidak terurus.
“Nanti-nanti la aku berubah. Sudah la. Aku tak nak dengar kau
membebel. Aku pergi dulu. Nanti jangan lupa masak. Aku lapar!” Serentak
itu Saiful Najmi berlalu pergi. Sekejap saja hilang dari pandangan mata.
Laila terduduk dan jiwanya diruntun rasa pilu.
Awan gemawan indah meredupkan bias cahaya mentari.
Pawana bertingkah menderu meredakan gelora jiwa yang bertandang.
Tenang sekali melihat buih-buih pantai yang menerpa anak kaki tatkala
melintasi kawasan itu. Suara teriakan dan pekikan mematikan lamunan
Laila setelah menjemur ikan kering di persisiran pantai itu.
“Laila… oww Laila! Suami kamu ni mencuri di kedai Pak
Yaakob. Baru je minggu lepas kena tangkap ceroboh rumah Haji Leman, ni
buat hal pulak. Tak serik-serik.” Rakus Pak Mat menutur kata. Laila kaget
dan tertunduk malu.
“Abang… apa lagi abang buat ni. Abang kenapa tak mahu insaf
lagi? Abang tahu tak najis dadah tu dah musnahkan hidup abang. Laila
malu…malu!” Laila tidak tertahan lagi. Rasa marahnya membuak-buak.
Kesabarannya hancur berkecai.
“Laila…aku minta maaf! Aku bukan sengaja. Tapi aku perlukan
duit nak beli benda tu. Kalau tak ada benda tu aku boleh mati.” Saiful
Najmi perlahan-lahan menutur kata. Masih tidak jijak ke tanah barangkali
seolah-olah berada di awang-awangan.
“Sudah! Saya dah muak dengan kata maaf abang. Saya dah
letih dengan semua ni. Seksanya jiwa saya tak pernah abang peduli. Makan
minum dekat rumah tak pernah abang ambil tahu. Pak Mat… buat la apa
yang Pak Mat nak. Saya dah tak peduli. Abang Mi tak pernah dengar
nasihat… langsung tak ada usaha nak berubah. Laila dah tak kisah.” Dalam
mengungkap bicara, entah mengapa berjuraian air mata keluar dari tubir
anak mata Laila. Seakan-akan menyerah kalah dan pasrah dengan
suaminya. Sangkanya, dia mampu mengubah suaminya namun hampa.
Malam yang bertamu kelam sekali. Pawana yang menderu
kencang sekencang keresahan Saiful Najmi. Kilat mulai sabung-menyabung
dan akhirnya bumi dibasahi deraian air mata langit yang tidak tertahan
lagi. Dalam kamar gelap dan terasing itu, Saiful Najmi dilihat semakin
bingung. Berkali-kali meraup tangan ke muka. Duduk bercanggung tanpa
baju dan berseluar pendek lusuh. Tubuhnya mengigil dan mengeletar.
Kadang-kadang dia meraung minta dilepaskan. Apa yang ada hanya
timbunan buku-buku agama.
“Hei orang tua…lepaskan aku. Aku tak nak duduk dekat sini.
Aku tak nak! Lepaskan aku. Aku nak bebas.” Saiful Najmi memekik.
Bergema suaranya.
“Duduk diam-diam dekat situ. Aku cuma nak tolong kau. Aku
kesian tengok Laila. Kalau kau pergi dari sini kau tak akan berubah dan
Laila semakin terseksa.” Ustaz Hamidun bapa mertua Saiful Najmi bersuara
lantang dari luar kamar.
“Aku tak nak! Lepaskan aku. Aku terseksa. Aku tak tahan
duduk dekat sini… lepaskan aku. Tolong la. Aku merayu.” Saiful Najmi
merengek semacam budak-budak. Tangannya tidak lekang-lekang mencuit
hidung penyetnya yang berair.
“Selagi kau tak berubah dan tak mahu kembali ke pangkal
jalan, aku tak akan lepaskan kau. Duduk la kau dekat situ sampai bila-bila.
Sampai sembuh ketagihan kau pada dadah. Nasib baik aku tak serahkan
kau pada polis tahu.” Ustaz Hamidun semakin bengis. Di kawasan terpencil
itulah dia mendirikan beberapa pondok untuk mereka yang mahu
mendalami ilmu agama. Sangat sunyi dan jauh dari dunia luar.
Masa terus saja berlalu. Terlalu cepat. Hari demi hari, Saiful
Najmi di bentuk daya ketahanan yang tinggi dalam melawan nafsunya
pada najis dadah. Setiap kali dia meraung dan kelihatan lemah beberapa
orang lelaki akan menjirusnya dengan air sungai berhampiran supaya dia
sedar kembali. Dia dikawal dengan ketat sekali. Makan minumnya terjaga.


Hidup ini terlalu indah untuk disiakan....
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.

No comments:

Post a Comment

Selamat Tahun Baru 2020

Selamat Tahun Baru 2020
#ambilkisahambiltindakan

We Are Drug Free. Join Us

We Are Drug Free. Join Us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya