#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

26 February 2016

Khutbah Jumaat Sempena Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan Tahun 2016/1436M



KHUTBAH JUMAAT
SEMPENA SAMBUTAN
HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN
TAHUN 2016/1436M

TEMA: Sayangi Diri Mu


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar ingin mengambil kesempatan pada hari Jumaat yang mulia ini untuk menyampaikan peringatan agar kita bersama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dan melakukan segala yang diperintahkanNya dengan bersungguh-sungguh dan dengan jalan sabar. Sesungguhnya kejayaan setiap mukmin itu disertai dengan kesabaran. Semoga kita dikurniakan rahmat dan maghfirah dalam kehidupan dan sentiasa di bawah naungan hidayahNya.

Pada tanggal 19 Februari setiap tahun, kita akan diingatkan dengan sambutan Hari Antidadah Kebangsaan. Oleh itu, mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah Jumaat yang bertemakan “SAYANGI DIRI MU”

Muslimin yang dirahmati Allah,

Gejala penyalahgunaan dadah perlu diberi perhatian serius kerana ia merupakan masalah ummah sejagat samada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Seluruh negara di dunia ini turut menghadapi permasalahan penagihan dadah. Tidak dinafikan, peranan di setiap lapisan masyarakat merupakan faktor utama bagi merealisasikan keberkesanan serta kejayaan menangani gejala ini.

Firman Allah Azza Wajalla dalam surah al-Ma`idah ayat 2:

"...وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِ‌ۚ..."
Maksudnya: “... Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan ...”

Sidang Jumaat Yang Beriman,

Dadah merupakan satu istilah khas yang merujuk kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan dan kesejahteraan seseorang dari segi fizikal, mental dan emosi serta tingkah laku pengguna ia apabila disalahgunakan. Akibat dari kesan ini, seseorang yang menyalahgunakan dadah akan menjadi ketagih dan akan terus bergantung hidup kepadanya.

Kesan penyalahgunaan dadah berbeza mengikut jenisnya. Dadah tradisional seperti candu, heroin dan morfin boleh menyebabkan penggunanya merasa khayal dan mengalami sindrom penarikan (gian). Pengambilan dadah jenis ini melalui jarum suntikan boleh menyebabkan jangkitan penyakit bawaan darah seperti HIV / AIDS dan Hepatitis B. Di samping itu, penagih juga akan mengalami kecelaruan mental dan menjejaskan fungsi kehidupan seharian seperti pembelajaran, pekerjaan, rumah tangga dan hubungan sosial.

Dadah jenis sintetik atau Amphetamine Type Stimulant (ATS) adalah dadah jenis perangsang. Contohnya adalah seperti pil kuda, WY, Yaba, ice, syabu dan ectacy. Penyalahgunaan dadah jenis ini akan mengakibatkan kesan yang lebih buruk iaitu seperti keadaan mental tidak stabil, hilang kawalan diri, bertindak agresif dan manifestasi tingkahlaku ganas dan emosi yang terjejas.

Negara kita juga berhadapan dengan pemasalahan bahan – bahan lain yang disalahgunakan iaitu seperti inhalan dan daun ketum. Bahan inhalan seperti gam boleh menyebakan kesan buruk serta merta seperti berhalusinasi, emosi tidak stabil dan dalam jangka masa yang panjang akan menyebkan kerosakan sel – sel otak serta boleh mengakibatkan kematian.

Penyalahgunaan air ketum juga semakin membimbangkan di negara kita. Secara tradisionalnya, air ketum atau air daun biak dipercayai boleh digunakan untuk merawat penyakit. Namun begitu, pengambilan dos yang banyak dan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan  penggunanya mengalami kesan – kesan seperti dadah jenis morfin; iaitu rasa bosan dan malas, hilang kawalan diri, hilang selera makan dan tidak boleh tidur.

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Dan Dirahmati Allah,

Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Kedah (Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah, 30 Oktober 2005) dan Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Perlis (Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis ke-12, 30 Oktober 2013) telah mengeluarkan fatwa pengharaman terhadap sebarang kegiatan dan penyalahgunaan segala jenis dadah adalah haram kerana ianya boleh membawa kemudaratan dan kerosakkan pada diri.

Sehubungan dengan itu, bagi memastikan Negara Malaysia bebas daripada dadah, kita haruslah bersatu padu menggembleng tenaga tanpa mengira perbezaan ideologi, agama dan juga bangsa. Selain dari pihak berkuasa, kitalah yang harus memainkan peranan ini sebagai satu pasukan sukarelawan yang utuh. Seperti yang kita semua sedia maklum, masyarakat hari ini semakin terdedah dengan pelbagai ancaman yang boleh mendatangkan kemudharatan kepada diri dan juga negara. 
 
Mimbar ingin sekali lagi mengingatkan bahawa dengan membiarkan ummah berada dalam keadaan yang lemah, mundur serta dibelenggu dengan perkara negatif seperti penyalahgunaan dadah, akan menghancurkan sebuah tamadun yang kukuh. Sabda Rasullullah s.a.w.;
اَلمُؤمِنُ لِلْمُؤْمِن كَالبُنْيَان يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضَ وَشَبَكَ بَيْنَ أَصَابِعَهُ
"Mukmin yang satu dengan yang lainnya bagaikan sebuah bangunan yang saling memperkuat antara sebahagian dengan sebahagian yang lainnya. (Rasulullah s.a.w. sambil memasukkan jari-jari tangan ke celah jari-jari lainnya)”

(HR. Muttafaqun `alaih)

Penyalahgunaan dadah dan bahan-bahan yang mengkhayalkan bermula seawal usia kanak-kanak / remaja. Peringkat umur yang kritikal seperti inilah perlu diberi perhatian terutama dalam pencegahan dadah. Peranan ibu bapa juga amat penting dalam menangani masalah dadah ini. Ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak - anak dengan mengikuti segala perkembangan mereka dari masa ke semasa. 
 
Anak–anak muda ini perlu dibimbing  kerana jika mereka terlibat dengan masalah dadah, ia boleh mengancam masa depan ummah di masa hadapan kerana telah menular di kalangan generasi muda seawal usia murid-murid sekolah rendah, remaja dan dewasa.

Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahagia,

Kita semua haruslah sedar bahawa sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, kita semua telah dipertanggungjawabkan untuk sama-sama membendung masalah ini dengan apa cara sekalipun. Apa yang kita semua sudah sedia maklum, dadah banyak dibawa melalui pintu-pintu masuk utama negara dan di sinilah semua pihak harus memainkan peranan masing-masing. Bukan hanya pihak berkuasa sahaja tetapi kita juga sebagai sebuah anggota masyarakat yang prihatin akan masalah ini haruslah menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa yang berkenaan. 
 
Perkara ini haruslah dibendung habis-habisan kerana kesan dari penyalahgunaan dadah ini terutamanya dari sudut kesihatan dan sosial perlu dilihat secara objektif oleh semua pihak. Ini  adalah kerana penyalahgunaan dadah berkait rapat dengan masalah sosial yang lain seperti melahirkan anak luar nikah, ponteng sekolah, pelanggaran disiplin dan peraturan di sekolah, penularan penyakit berjangkit dan juga budaya merempit.

Ingatlah wahai sidang Jumaat sekalian, kita akan dipersoalkan di akhirat kelak dengan apa yang telah kita lakukan. Melihat kepada permasalahan dadah yang melanda anak bangsa kita sekarang, kita tidak seharusnya duduk bergoyang kaki bersenang lenang kerana mereka inilah penggerak masa depan dan penentu kemajuan negara. 
 
Mimbar ingin mengingatkan semua, bahawa perubahan yang ingin kita laksanakan hendaklah bermula dari dalam diri kita sendiri dan barulah kita mampu untuk melaksanakan perubahan dalam masyarakat. Hal ini kerana apabila diri kita kukuh dengan pegangan agama, insya-Allah kita mampu melaksanakan perubahan untuk melawan gejala negatif yang  menggugat keharmonian negara.

Sidang Jumaat Yang Dikasihi,

Sebagai kesimpulannya, beberapa pengajaran penting yang dapat diambil dari khutbah ini.

1.    Penyalahgunaan dadah adalah HARAM dan merupakan penyumbang ke arah masalah sosial Negara.

2.    Semua pihak perlu menggembeling tenaga dan bersatu padu dalam membanteras penyalagunaan dadah
       ini.

3.    Dadah membawa kemudaratan dan kesan yang sangat buruk kepada diri, keluarga dan masyarakat.


Akhirnya marilah kita sama-sama merenungkan firman Allah s.w.t dalam surah at-Tahrim ayat 6




Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.

No comments:

Post a Comment

Selamat Tahun Baru 2020

Selamat Tahun Baru 2020
#ambilkisahambiltindakan

We Are Drug Free. Join Us

We Are Drug Free. Join Us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya